SEMINAR INTEGRITI KELUARGA TINGKAT KEMAHIRAN IBU BAPA DIDIK ANAK ISTIMEWA

 

 

 

UUM ONLINE: Bukan mudah untuk menjadi ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak, terutama sekiranya dianugerahkan dengan anak istimewa atau orang kelainan upaya (OKU). 

 

Sehubungan itu, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Seminar Integriti Keluarga yang disertai seramai 150 orang bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam penjagaan anak-anak istimewa khususnya. 

 

Timbalan Pengarah (Penerbitan) RIMC, Sr Dr Mohd Nasrun Mohd Nawi berkata, seminar itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak istimewa dalam aspek kesihatan, kebajikan dan keselamatan mereka. 

 

Menurutnya, di samping itu, mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan masa kini, sejajar dengan trend kehidupan moden dan memberi peluang perbincangan dua hala antara peserta dan pakar terlibat. 

 

"Kita juga inginkan program yang boleh merapatkan antara staf UUM dan masyarakat luar menerusi program seperti ini, selain membantu memperkenalkan universiti kepada orang luar. 

 

"Saya berharap peserta khususnya ibu bapa dan penjaga dapat memanfaatkan peluang ini untuk berinteraksi dengan panel atau pakar dalam bidang berkaitan supaya dapat membantu mereka dalam menguruskan anak-anak istimewa tersebut," katanya pada Majlis Perasmian Seminar Integriti Keluarga di Dewan Seminar, Pusat Islam, semalam.  

 

Dalam seminar itu, seramai tiga panel dijemput bagi membincangkan tentang anak istimewa itu berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing.

 

Tiga panel berkenaan ialah Mohd Zaini Mat Abas, penggerak utama Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa; Noraziah Khali Abdl Alim, Pengetua Akademi Autisma, Persatuan Austisma Kedah (PAK) dan Dr Yusni Yusuff, Ketua dan Perunding Kanak-kanak serta Pakar Psikiatri Remaja, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, manakala moderator ialah Dr Fatimah Zailly Ahmad Ramli dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP). 

 

Dr Yusni dalam seminar itu telah memberikan penerangan atau taksiran tentang penyakit Autisma dan simptom atau cara mengenal pasti penyakit tersebut, diikuti Noraziah yang berkongsi pengalaman beliau menubuhkan PAK dan perkhidmatan yang diberikan. 

 

Seterusnya, peserta juga berpeluang berkongsi pengalaman bersama Mohd Zaini yang mana beliau turut memiliki anak menghidap autisma dan cabaran yang dilaluinya sebagai bapa dalam mendidik anak istimewa itu dengan menggunakan kaedah Al-Quran dan ibadah. 

 

Sementara itu, peserta, Noor Fauziati Mat Yatim berkata, dia menyertai seminar itu kerana ingin menambahkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam menjaga anak OKU. 

"Pendedahan dan perkongsian ilmu ini sangat penting kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa kerana saya dan suami dapat meningkatkan lagi kemahiran keibubapaan kami dalam membesarkan anak-anak, selain anak OKU. 

 

"Memiliki anak OKU ini adalah satu anugerah kepada saya sekeluarga kerana dari situ, kami diberi kesabaran yang tinggi dalam mengharungi cabaran sepanjang membesar dan mendidik anak-anak," katanya yang bekerja sebagai Pustakawan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah. 

 

Anaknya, Mohd Afif Mohd Husni yang berusia enam tahun kini menghidap Cerebral Palsy, penyakit saraf yang mengganggu pergerakan tubuh badan selepas dia diserang demam panas ketika berusia lima bulan. 

 

Noor Fauziati berkata, pada mulanya dia terkejut dan agak sukar dia menerima kenyataan tersebut kerana anaknya yang dilahirkan sihat dan normal kini tidak mampu lagi bergerak seperti kanak-kanak normal lain.  

 

Katanya, setelah dua tahun baru dia sedar dan mula menerima hakikat tersebut. 

 

"Sedih tapi lama-kelamaan, saya sudah terima kenyataan ini dan redha atas apa yang berlaku ke atas anak ketiga saya ini, malah adik-beradik Mohd Afif juga memahami keadaannya" ujarnya. 

 

Sepanjang seminar itu, peserta juga berpeluang mengikuti aktiviti seperti menunggang kuda, menaiki tram mengelilingi kampus, lawatan ke Taman Rusa dan burung unta, pertandingan mewarna serta pameran turut diadakan. 

 

Hadir sama Timbalan Pengarah RIMC, Dr Mohd Faizal Omar dan Prof Madya Dr Alias Azhar dan pegawai-pegawai UUM.

 

Sumber berita :

 


Oleh: Nordiana Shafiee, UKK UUM

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

 

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june