RIMC BERI PENDEDAHAN PROSES AUDIT MyRA SEBENAR KEPADA PTJ

myrath

UUM ONLINE: Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan UUM Ke Arah Universiti Penyelidikan (RU) 2016 Fasa II di TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar baru-baru ini.

Bengkel dikendalikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Isa Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia yang berpengalaman sebagai juruaudit Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA) di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau telah berkongsi tips dan informasi mengenai penyediaan dokumentasi MyRA dan strategi yang boleh dilaksanakan bagi mencapai mutu penyelidikan yang terbaik.

Selain itu, turut serta sebagai juruaudit ialah Prof. Dr. Mustafa Mat Deris dari Universiti Tun Hussein Onn, Prof. Dr. Kalsom Kayat dan Dr. Nooraini Yusoff masing-masing dari UUM.

Pengarah RIMC, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan proses audit MyRA yang sebenar kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan pembekal data yang berkaitan melalui simulasi audit dalaman.

“Selain itu, pemahaman yang tepat berkaitan dengan definisi operasi (OD) MyRA 1 yang baharu dikemas kini pada Disember 2016 dikongsi dengan peserta dalam bengkel ini.

“Anggaran pencapaian MyRA Tahun 2016 juga dapat dilakukan melalui aktiviti audit dalaman ini dan pembekal-pembekal data juga telah diberi pendedahan kepada proses audit yang sebenar melalui sesi simulasi audit.’’ katanya lagi.

Peserta bengkel terdiri dari 26 orang pembekal data daripada jabatan yang berkaitan serta kakitangan RIMC yang terlibat secara langsung dalam pengumpulan dan penghantaran data MyRA.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Unit Tugas-tugas Khas RIMC, Dr. Mohd Faizal Omar berharap melalui penganjuran program awareness seumpama ini diharapkan dapat membantu Universiti agar lebih memahami glosari dan merangka strategi bagi meningkatkan pencapaian MyRA.

Dr. Mohd Faizal meminta agar semua pihak yang terlibat dalam pengumpulan data MyRA dapat memberikan kerjasama yang lebih mantap dan bergerak sebagai satu pasukan dalam menghadapi proses audit MyRA 2016 yang sebenar.

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june