PENSYARAH MUDA SERTAI PROGRAM R102 - 28-29 NOVEMBER 2017

r102

Seramai 30 pensyarah muda menyertai Program R102 (Introductory) Penulisan dan Penerbitan (Zon Utara) di Bilik Komputer, Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program anjuran bersama Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) dengan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) berlangsung selama dua hari bermula 28 November lalu dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Zulhabri Ismail dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dan Prof. Madya (B) Dr. Nor Azni Abdullah mantan pensyarah dari universiti yang sama.

Timbalan Pengarah (Tugas-tugas Khas) RIMC, Dr. Mohd Faizal Omar dalam ucapan aluannya berkata, program ini bertujuan untuk mendedahkan penyelidik tentang kepentingan penulisan akademik dan penerbitan dalam kerjaya akademik profesional.

“Modul yang disediakan adalah meliputi topik yang berkaitan dengan penulisan dan penerbitan seperti etika, hak pengarang, struktur dan penyediaan manuskrip serta proses penerbitan.

“Ini akan memberi ruang kepada pensyarah muda untuk menghasilkan penulisan  yang lebih berkualiti di samping dapat menerbitkan dalam jurnal yang berimpak tinggi”, katanya lagi.

Sementara itu, peserta program Dr. Narentheren Kaliappen, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan berkata, bengkel ini memberikan banyak input tentang penyelidikan dan penerbitan dan beliau dapat belajar lebih banyak mengenai penerbitan untuk pembangunan kerjaya akademik, pengindeksan dan sitasi, etika, penyediaan manuskrip serta proses penerbitan.

“Selain itu, saya juga dapat mengetahui maklumat tentang jenis artikel dan secara keseluruhan, bengkel ini amat berguna untuk seorang penyelidik muda seperti saya dan tidak sabar untuk mengikuti latihan penulisan dan penerbitan peringkat lanjutan pada masa yang akan datang”, ujar beliau lagi.

Seorang lagi peserta program, Dr. Ani Munirah Mohamad, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-undang menyifatkan bengkel ini amat bermanfaat kepada peserta di mana struktur pengisian adalah bersesuaian dengan peserta yang baru bermula atau di awal kerja-kerja penulisan artikel dan jurnal.

“Amat membuka mata, khususnya apabila Dr. Nor Azni banyak berkongsi pengalaman akademik dan penulisan beliau.

"Yang paling memberi kesan kepada saya ialah bagaimana Dr. Zulhabri menstruktur artikel penulisan daripada setiap bab tesis pengajian dengan memberi cadangan yang amat sistematik dan patut diaplikasikan oleh pelajar tanpa sebarang masalah.

“Penceramah juga turut memberi penekanan tentang kepentingan menulis artikel dalam jurnal berindeks Scopus, Web of Science dan ERA sebagai sebahagian daripada hala tuju UUM dan KPT untuk meningkatkan penerbitan dan sitasi akademik,” tambah Dr. Ani Munirah.

Timbalan Pengarah (Penerbitan Penyelidikan) RIMC, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi juga turut berkongsi tentang peranan RIMC dalam meningkatkan penerbitan penyelidikan di UUM ke arah mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Penyertaan juga melibatkan peserta dari Institut Pendidikan Guru Darulaman.

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june