SELAMAT PAGI SINTOK RANGKUL ANUGERAH PERSEMBAHAN TERBAIK

myra5

Pasukan MyRAFIVE daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah melakar sejarah buat pertama kalinya apabila mereka telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik bagi kategori pengurusan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Terbuka UUM 2018 yang diadakan selama dua hari di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen baru-baru ini.

Kelainan yang ditonjolkan oleh MyRAFIVE dalam persembahan iaitu konsep bual bicara Selamat Pagi Sintok telah berjaya menarik perhatian pihak juri dan para penonton.

Persembahan MyRAFIVE memaparkan segmen inovasi di dalam program Selamat Pagi Sintok yang dihoskan oleh Mohd Fairuz Zaiyadi dan ahli kumpulan lain sebagai tetamu jemputan bagi membincangkan projek inovasi bertajuk CoE Dashboard Membantu Memahami Data Pencapaian KPI CoE.

Menurut ketua kumpulan MyRAFIVE yang merupakan Timbalan Pengarah (Tugas-tugas Khas) RIMC, Dr. Mohd Faizal Omar, gabungan keahlian MyRAFIVE daripada kesemua unit di RIMC telah berjaya menjadikan kumpulan tersebut sangat relevan di dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan bagi menjamin kelancaran pelaksanaan perkhidmatan Jabatan.

“Kemenangan ini memberi semangat buat MyRAFIVE untuk mengetengahkan lebih banyak idea inovasi,” ujarnya lagi.

MyRAFIVE dibantu oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan), Prof. Madya Dr. Rozita Arshad yang bertindak sebagai fasilitator kumpulan dan dianggotai oleh Timbalan Pengarah (Penerbitan Penyelidikan), Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi, tiga orang Pegawai Penyelidik Sosial iaitu Norhana Shaibatul Khadri, Aniza Sabjan dan Aini Bahrum dan tiga orang Pembantu Penyelidik iaitu Norhafizatul Zainol, Mohd Fairuz Zaiyadi dan Ibnu Affan Jaafar.

Pemenang bagi Anugerah Persembahan Terbaik ialah trofi dan sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf.

Pengarah RIMC, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika ditemui berkata, kejayaan MyRAFIVE ini dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada warga RIMC agar terus berkarya dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah di tempat kerja di samping meningkatkan keberkesanan proses kerja dalam kalangan warga Jabatan ini.

“Secara tidak langsung, dapat dilihat bahawa KIK bukan sahaja memupuk budaya inovasi dan kreatif malah turut melatih staf RIMC untuk tampil berani dalam merangka dan menyusun gerak kerja serta melaksanakan tindakan perubahan ke arah memantapkan keupayaan sumber manusia yang ada demi kebaikan organisasi.

“Setiap staf perlu menyahut cabaran think out of the box dalam mewujudkan kumpulan KIK yang mampu memberi hasil kreativiti dan inovasi yang bukan sahaja menyelesaikan sesuatu masalah, malahan menjadi sesuatu perkhidmatan atau produk yang baru yang mampu meningkatkan perkhidmatan organisasi.

“Tahniah kepada MyRAFIVE dan teruskan berinovasi,” ujarnya lagi.

Program anjuran IPQ ini mempertandingkan dua kategori iaitu pengurusan dan teknikal yang menampilkan Anugerah Inovasi Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Fasilitator Terbaik, Anugerah Visual Terbaik dan Anugerah Kreativiti Terbaik.

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june