RIMC RAI MERDEKA SANTUNI PENGHUNI RUMAH SERI KENANGAN

csr rimc

UUM ONLINE: Kangar - Mencari kelainan dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-61, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyantuni penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), Kangar, baru-baru ini (28 Ogos).

Pada Program Tanggungjawab Sosial (CSR) bertemakan ‘Sayangi Warga Emas, Sayangi Malaysiaku’ itu RIMC turut menyumbangkan dua kerusi roda dan   tongkat berkaki empat kepada RSK.

Pengarah program, Nurul Shuhada Abdul Ani berkata, program itu julung kali diadakan sebagai menghargai warga emas yang tinggal di RSK.

Menurutnya, ia juga bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ yang mana semua golongan dan lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang tetap disayangi dan dihormati.

Katanya, atas rasa tanggungjawab itu juga pihaknya dengan kerjasama Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), UUM membuat kutipan bagi menyumbang keperluan penghuni di situ.

“Kami juga turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, sesi ramah mesra, aktiviti sukaneka (kerusi berirama, musang berjanggut, dan permainan tuju kasut).

“Dengan adanya program seperti ini, penghuni RSK tidak lagi merasa terpinggir dan mereka juga dapat bersama-sama merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ini,” katanya.

Sementara itu, penghuni RSK, Asmah Puteh, 88, berkata, dia gembira apabila mendapat kunjungan warga RIMC, tambahan lagi menerima sumbangan tongkat dan kerusi roda untuk kegunaan penghuni di situ.

Menurutnya, pemberian sumbangan itu cukup bermakna kepada mereka semua kerana secara tidak langsung memudahkan pergerakan warga emas yang kurang berupaya.

Pengarah RIMC, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, program CSR itu akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang untuk memberi pendedahan kepada staf RIMC berkenaan peranan mereka terhadap golongan yang memerlukan.

Selain itu, menurutnya, ia juga dapat memberi kesedaran akan tanggungjawab anak-anak untuk menjaga dan menghormati ibu dan bapa yang telah lanjut usia.

Di akhir program, semua penghuni RSK dan warga RIMC tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan Tanggal 31 sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

 

Sumber berita : RIMC & UKK

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim_____________________________________________________________________________________________________________new footer june