UUM ONLINE: Pembabitan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk memastikan produk dan tarikan pelancongan di Malaysia dapat diketengahkan lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.
Felo Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Hishamuddin Mustafa berkata semua pihak perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan dan tidak boleh bekerja secara silo untuk mempromosi produk-produk pelancongan negara.
"Banyak tarikan pelancongan yang ada di negara kita tetapi tidak diketahui dan disedari kerana tidak diketengahkan.
Misalnya makanan-makanan enak yang menjadi signature dish di negeri Kedah tidak banyak diketahui oleh penduduk negeri lain. Dalam hal ini ahli akademik boleh memainkan peranan dengan membantu menjalankan kajian dan menerbitkan buku berkaitan makanan yang popular di negeri Kedah," ujar beliau pada Syarahan Perdana "Edutourism and Current Tourism Industry in Malaysia" anjuran STHEM di Dewan Seminar, Pusat Islam.
Tambah beliau, UUM juga mempunyai tarikan tersendiri seperti pokok 3 beradik, hutan yang belum diteroka, lanskap yang dihiasi dengan flora dan fauna indah, padang golf, litar go-kart, pos kawalan tentera di sempadan Malaysia-Thailand yang boleh menarik kehadiran pelancong.
"Dengan mempunyai lebih 30,000 staf dan pelajar dari dalam dan luar negara, UUM boleh menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit jika tampil dengan pakej pelancongan yang menarik dan bersesuaian. Di sinilah pentingnya keterlibatan semua pihak dari ahli akademik, ejen pelancongan hinggalah pelajar sendiri untuk mempromosi tempat-tempat pelancongan di UUM.
"Ahli akademik misalnya boleh menyumbang kepakaran untuk membangunkan produk-produk yang boleh dijadikan tarikan pelancongan, ejen-ejen pelancongan perlu tampil dengan pakej yang menarik dan pelajar boleh membantu promosi dengan berkongsi gambar tarikan di UUM melalui platform sosial media seperti Instagram dan Facebook," jelas beliau.
Pada sesi yang berlangsung hampir 3 jam itu beliau turut berkongsi mengenai industri pelancongan di Malaysia pada masa kini, cabaran yang dihadapi dan perancangan oleh Tourism Malaysia untuk menggiatkan lagi industri pelancongan tanah air.
Sumber berita : UKK UUM