UUM ONLINE: Alor Setar - Hasil kerjasama dan kepercayaan terhadap kepakaran Universiti Utara Malaysia (UUM), Lembaga Zakat negeri Kedah (LZNK) telah memperuntukkan lebih RM1 juta bagi tujuan penyelidikan sejak 2017.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf berkata, jumlah tersebut merangkumi geran penyelidikan terbaru iaitu Geran Khas Kajian Transformasi Pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bernilai RM49,800.
Menurutnya, UUM amat berterima kasih kepada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah kerana telah memberi sokongan kepada penyelidik UUM melalui pemberian geran penyelidikan dan perundingan ini.
”Saya difahamkan secara keseluruhannya jumlah peruntukan penyelidikan yang telah disalurkan adalah berjumlah RM1,210,670 mulai 2017 hingga 2020.
”Terdapat 83 projek yang ditawarkan oleh LZNK kepada UUM sejak tiga tahun lalu dan daripada jumlah tersebut, 64 adalah penyelidikan dan 19 lagi ditawarkan sebagai projek perundingan,” katanya pada Majlis Serahan Surat Tawaran Dan Tandatangan Surat Perjanjian Geran Khas Kajian Transformasi Pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Menara Zakat, baru-baru ini.
Pada kali ini, sebanyak lapan penyelidikan akan dijalankan dengan diketuai oleh Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain yang juga Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM bersama lima penyelidik dari UUM, Universiti Teknologi MARA (2) dan seorang dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, dalam ucapanya berkata ”kerjasama UUM melalui IPIZ selama ini dalam membantu Lembaga Zakat Negeri Kedah jauh ke hadapan, malah sangat membanggakan dalam menyumbang dan membangunkan ummah.
”Bantuan buah fikiran dan tenaga memajukan Kedah sangat dihargai. Hubungan baik ini perlu dimantapkan dan disuburkan serta kekuatan yang sedia ada di dalam UUM melalui pelbagai bidang dan kemahiran sudah pastinya akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama sebegini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pelbagai agensi di negeri Kedah khususnya dan amnya di Malaysia.
Sumber berita : UUM Corp Comm