UUM ONLINE: Setelah 35 tahun menyemai Ilmu, Budi dan Bakti di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Profesor di UUM Kampus Kuala Lumpur, sekali gus mengakhiri tempoh jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau yang melangkah keluar sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi selepas memegang jawatan tersebut selama 8 bulan bermula 4 Mei 2020 dan akan bersara wajib pada 11 Januari ini, menyentuh kad pas kerjanya pada perakam waktu di Menara KPT kira-kira jam 5 petang semalam dengan disaksikan Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Dr. Mazlan Yusoff dan warga kerja JPT.
Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Sosiologi Politik) dari University of Leeds dan Ijazah Sarjana (Politik) dari University of York, England.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada tahun lalu, beliau merupakan Naib Canselor UUM ke-7 sejak 2010 hingga 2018.
Banyak transformasi dan perubahan yang telah dibawa Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa ketika beliau menerajui UUM hingga universiti ini berjaya menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa dan dikenali dengan pelbagai akreditasi berprestij peringkat antarabangsa antaranya seperti AACSB, AMBA dan EPAS.
Selain itu, beliau juga telah menjadikan UUM berjaya merangkul pelbagai penarafan seperti 5 Bintang dalam SETARA dan MyRA, malah UUM juga julung kali disenaraikan dalam UI GreenMetric dan beberapa ranking dunia seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) University Rankings.
Malah, beliau juga mewujudkan Pelan Strategik UUM fasa 1 (2010- 2015) dan Fasa 2 (2016 -2020) dan kini diteruskan oleh kepimpinan terkini dan warga UUM memasuki Fasa 3 (2021- 2025) bagi memastikan agenda universiti menuju Universiti Pengurusan Terkemuka tercapai. Beliau juga telah mengemukakan idea dan melaksanakan usaha membangunkan Anjung Tamu sebagai ikon UUM yang akan menjadi pusat informasi universiti dan Bulatan Masa agar warga universiti sentiasa menghargai masa.
Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa bukan sahaja berjaya mentransformasi UUM dan sektor pengajian tinggi negara, malah idea dan pandangan beliau juga sering kali diambil kira terutamanya dalam memberi analisis dan komentar sama ada dalam ruangan akhbar mahupun kaca TV kerana kepakaran beliau sebagai seorang Profesor dalam bidang sains politik dan hal ehwal antarabangsa.
Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menerima CEEMAN Champions Awards 2017 for Institutional Management, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Pendidikan oleh Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn (kini Raja Thailand) dan dilantik menjadi Ahli Badan Profesional (Companionship) ke-86 oleh Chartered Management Institute (CMI), London.
Untuk rekod, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di peringkat nasional dan Presiden Persatuan Pengajian Antarabangsa, selain memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Sesungguhnya, pengorbanan dan jasa beliau melonjak nama UUM sehingga dikenali bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa sudah pasti tidak mungkin dapat dilupakan.
Antara petikan kata yang sering dikongsikan beliau, ‘If we cannot become a rose, smell like a rose’.
Selamat Bersara ‘Pencetus Transformasi UUM ke Persada Antarabangsa’. Jasa, Ilmu, Budi dan Baktimu tidak akan kami lupakan. Doa kami semoga Dato' Seri sentiasa sihat sejahtera untuk terus menabur jasa kepada masyarakat dan negara.
Sumber berita : UUM Corp Comm