UUM ONLINE: Langkawi - Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dengan kerjasama British Council telah menganjurkan program ‘UUM Active Citizens Social Action Project’ di Pulau Tuba selama tiga hari pada penghujung Mac lalu.
Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman berkata, program itu merupakan program kepimpinan sosial bermatlamat untuk memupuk dialog antara budaya dan tanggungjawab sosial sebagai kemahiran yang penting di abad ke-21.
Menurutnya, objektif utama program ini adalah bagi mengaplikasi latihan Active Citizens Toolkit (ACT) yang telah dijalankan dari 22 Februari hingga 4 Mac lalu secara atas talian.
Katanya, ACT yang merupakan pra-syarat ‘Social Action Project’ (SAP) ini telah disempurnakan oleh empat fasilitator yang dilantik oleh British Council Malaysia terdiri dari UUM, USM dan Design Thinkers dengan hasrat memberi manfaat kepada pelajar UUM dan peserta dalam kalangan komuniti setempat.
“Pendekatan projek ‘Active Citizen’ ini penting dalam mendidik pelajar untuk mempunyai sifat empati yang kuat terhadap komuniti setempat yang mempunya latar belakang yang pelbagai. Sasaran peserta projek ini adalah generasi muda yang merupakan pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun.
“Selain itu, program ini dapat mendidik pelajar mempunyai sifat ingin membantu orang lain yang tinggi dan dipupuk dalam diri pelajar selamanya,” katanya yang merupakan salah seorang fasilitator terlatih ‘Active Citizen’.
Sementara itu, peserta, Mohamad Shahrul Aiman Hassim berterima kasih kepada penganjur yang telah memilih mereka dalam kalangan pelajar UUM bagi menjayakan program itu.
Menurutnya, program seperti ini sangat baik dan perlu diteruskan lagi kerana amat penting bagi pihak universiti khususnya untuk menyumbang kepada masyarakat khususnya remaja di Pulau Tuba dan penduduk setempat dari segi perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran yang mungkin tidak dimiliki mereka di sini.
Program ini berperanan memberi pendedahan kepada 16 pelajar UUM dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) bersama empat pensyarah UUM yang telah dilantik sebagai mentor bagi ‘Active Citizens’ pada Februari lalu bagi memperoleh kemahiran, keyakinan dan hubungan untuk merealisasikan potensi mereka dengan memainkan peranan penting dalam aktiviti bersama komuniti.
Melalui aktiviti libatsama yang dijalankan oleh pelajar UUM di Pulau Tuba, peserta dari kalangan komuniti telah diberi motivasi, pengetahuan dan kemahiran untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam memikul tanggungjawab untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi komuniti setempat.
Program ini juga memberi pendedahan kepada peserta untuk mengenalpasti peluang bersama komuniti mereka untuk melaksanakan projek tindakan sosial bagi manfaat bersama.
Setiap aktiviti yang dijalankan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sumber berita : UUM Corp Comm & CUIC