UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan sokongan terhadap projek Malaysia Sustainable University Campus Network (MYSUN) bagi merealisasikan agenda kelestarian universiti.
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik projek MYSUN ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan rakan-rakan projek di Eropah kerana memilih UUM yang diketuai oleh Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf sebagai rakan kerjasama.
“UUM sentiasa bersedia untuk menceburi sebarang projek yang boleh memberi manfaat kepada warga kampus dan komuniti setempat selain berusaha melaksanakan inisiatif kelestarian secara kolektif bagi memastikan setiap individu di kampus memiliki rasa tanggungjawab ini,” katanya.
Jelasnya, kelestarian kampus telah diangkat sebagai salah satu agenda utama universiti di bawah Teras 3, Penglibatan Komuniti dan Industri Lestari dengan merangka pelan tindakan kelestarian kampus seterusnya memantau aktiviti yang memberi impak kepada universiti.
“Banyak perkara yang boleh ditawarkan, misalnya perkongsian ilmu dan pengalaman memandangkan kita adalah satu pasukan yang membawa agenda besar untuk membina Malaysia yang lebih baik termasuk mendekati masyarakat,” ucapnya dalam majlis perasmian sempena Malaysia Sustainable University Campus Network (MYSUN) Sustainability Workshop and Management Meeting, di Bilik Mesyuarat Senat, semalam.
Di akhir ucapan, beliau menyatakan harapan agar perbincangan yang bakal berlangsung dalam tempoh empat hari ini bakal memberikan manfaat kepada semua rakan strategik dan komuniti keseluruhannya di samping dapat menikmati pemandangan indah universiti ini.
Sementara itu, Pengurus Projek Kanan, Institutional Project Management Office (OGPI) di University of Alicante, Sepanyol, Cristina Beans berbesar hati di atas kesudian UUM menjadi tuan rumah mengadakan bengkel dan mesyuarat untuk membentangkan hasil dan impak daripada inisiatif yang telah dijalankan oleh setiap rakan strategik.
Projek MYSUN yang dibiayai Erasmus+ bertujuan mempromosikan agenda kelestarian dan kecekapan tenaga di samping menyokong persekitaran kampus yang lebih mampan, modal insan yang cekap dan berkesan, garis panduan berstruktur dan konsisten untuk pembangunan negara melalui universiti-universiti di Malaysia. Rangkaian MYSUN dilihat sebagai pemangkin kepada usaha menggalakkan budaya kampus yang mampan dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Hadir sama, ialah rangkaian MYSUN yang terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Multimedia University (MMU).
Sumber berita : UUM Corp Comm