UUM ONLINE: Walaupun dunia kini dilanda pandemik Covid-19, ianya tidak menghalang penganjuran ‘6th International Soft Science Conference 2020’ (6th ISSC 2020) anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.
Pengarah 6th ISSC 2020, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi berkata, julung kali persidangan itu diadakan secara maya berikutan pandemik Covid-19.
Menurutnya, 6th ISSC 2020 merupakan salah satu platform perbincangan bagi ahli akademik untuk berbincang dan berkongsi pendapat berkaitan penyelidikan dalam bidang ‘Soft Science’ yang dilaksanakan oleh penyelidik sama ada dalam atau luar negara.
Katanya, persidangan dua tahun sekali itu bertujuan untuk membantu penyelidik membentangkan hasil penyelidikan dan seterusnya menerbitkan hasil penyelidikan tersebut dalam jurnal yang berindeks SCOPUS.
“Towards IR 4.0 Nation Building adalah tema yang diketengahkan pada 6th ISSC 2020 dan ia telah berjaya melibatkan seramai 106 orang pembentang dari dalam dan luar negara.
“Persidangan ini juga telah mengetengahkan isu semasa iaitu ‘Perspective on the Covid-19 Pandemic’ yang mana terdapat sembilan (9) kertas kerja telah dibentangkan berkaitan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi, pendidikan dan tadbir urus,” katanya yang turut melahirkan rasa syukur diatas kejayaan penganjuran persidangan itu.
Menurut beliau, ini merupakan pengalaman baharu kepada semua peserta dan juga pihak penganjur khususnya.
Katanya, kerjasama yang baik dari pelbagai pihak adalah sangat dihargai dalam merealisasikan penganjuran persidangan tersebut.
Pada persidangan itu dua pengucaptama dijemput iaitu Pengarah Teknologi, Dr. Rahmat Iskandar Khairul Shazi dari ShazInnovation Solution yang telah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Soft Sciences in Supporting the Innovation Value Chain’.
Manakala, pengucaptama kedua ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Rohaizat Yon dengan ucaptama bertajuk ‘Holistic Preparedness Strategies Against Covid-19: Malaysia Experience in Managing Covid-19’.
Turut diadakan sesi Webinar yang disampaikan oleh Ketua Editor, International Journal of Supply Chain Management (IJSCM), Prof. Dr. Mamun Habib bertajuk ‘Publishing Scopus Indexed Journal Paper’ dan Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi dengan tajuk ‘Mapping & Visualising Knowledge Structure using Bibliometric Analysis’.
Perasmian telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad dan disertai Pengarah RIMC, Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf.
Sumber berita : Unit Penerbitan Penyelidikan RIMC