UUM ONLINE: Demi pembangunan berterusan di wilayah utara, khususnya negeri Kedah, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mengadakan perbincangan untuk jalinan kerjasama strategik demi kejayaan pembangunan berimpak tinggi.
NCIA ditubuhkan untuk merangka dasar dan strategi dalam memajukan pembangunan sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi negeri Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Perbincangan itu disertai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Naib Presiden Kluster Pembuatan dan Bahagian Pelaburan, NCIA, S Asmazura Ismail dan Amir Sharifuddin Nayodin@Mahyudin.
Pada sesi tersebut, Prof. Dr. Haim Hilman telah membentangkan peluang-peluang kolaborasi strategik melalui 26 Pusat Kecemerlangan (CoE) di UUM yang mempunyai kepelbagaian kepakaran.
Di samping itu, beliau juga membentangkan sembilan program kolaborasi strategik dengan NCIA yang melibatkan program MENTOR menawarkan bimbingan kepada institusi dalam aspek pembangunan sumber manusia; program DUTA menawarkan profesor/ahli akademik kepada institusi menjadi duta dengan menjuarai bidang penyelidikan, penerbitan dan lain-lain; program BUKU (Bina Ukhuwah Kuatkan Ummah) menawarkan institusi peluang untuk berkerjasama dalam penghasilkan koleksi buku-buku, video dan lain-lain iaitu berkaitan sektor di bawah agenda institusi; program MEKAR (Membina Ekonomi, Kehidupan & Akhlak Rakyat) menawarkan kepada institusi akan peluang untuk berkerjasama dalam pembanungan sosio ekonomi rakyat dan program EMAS (Ekosistem Mesra Alam & Sejahtera) menawarkan institusi kepakaran pembangunan ekosistem PINTAR – Pintar Kehidupan; Pentadbiran; Pembelajaran; Kesihatan & Keselamatan.
Selain itu, program PASAK/PAKSI (Program Akademik Staf Agensi Kerajaan/Industri) yang menawarkan program akademik dan kecemerlangan kepada staf institusi dan kumpulan sasar yang ingin dimajukan oleh institusi/syarikat; program PEMIKIR menawarkan profesor/ahli akademik kepada institusi dan persatuan untuk menjadi pemikir kemajuan dan kecemerlangan sektor serta industri berkaitan; program IKHLAS (Institut Kajian Halatuju & Agenda Strategik) menawarkan institusi peluang membentuk kerjasama strategik dalam aspek penyelidikan, perundingan, penerbitan, latihan dengan menjadikan CoE sebagai ‘back office’ dan program PEWARIS (Program Akademik Kecemerlangan PEWARIS Kedah) yang menawarkan program akademik dan kecemerlangan kepada anak Kedah demi memastikan kelangsungan negeri ini dan negara.
Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau yakin UUM dapat menyumbang kepakaran dalam projek pembangunan terutamanya di Kedah seperti Kedah Rubber City (KRC), Kedah Eco Innovation Park (KEIP), Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) dan Kedah Science and Technology Park (KSTP).
Sementara itu, NCIA yang diwakili S Asmazura dan Amir Sharifuddin turut membentangkan potensi-potensi kolaborasi strategik bersama UUM mengikut tiga fasa pelaksanaan yang melibatkan fasa tindakan segera, fasa tindakan jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang.
Untuk tindakan segera, NCIA telah merangka program penempatan kerja melalui JomKerja@NCER dan program penawaran dan permintaan peluang pekerjaan melalui PencariKerja@NCER.
S Asmazura amat berharap kerjasama strategik ini dapat dilaksanakan segera bersama dengan UUM dalam membuka peluang pekerjaan kepada semua bakal graduan UUM.
“NCIA juga amat berbesar hati dan berharap kerjasama ini dapat direalisasikan segera bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan fasa selepas pandemik dapat berjalan dengan suasasa yang lebih baik dengan adanya penglibatan daripada UUM,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI