UUM ONLINE: Seramai 54 peserta melibatkan staf akademik telah menyertai Webinar Penulisan dan Penerbitan Buku Digital (eBook) secara dalam talian, baru-baru ini.
Wehinar itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad yang mana dalam ucapannya berkata, Webinar Penulisan dan Penerbitan Buku Digital (eBook) itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta cara untuk menulis dan menerbitkan eBook.
Menurutnya, staf akademik UUM perlu diberi dan peluang untuk mendapatkan bimbingan menulis seterusnya menggalakkan mereka untuk menerbitkannya dalam buku digital untuk dipasarkan.
“Penyertaan kali ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan staf akademik dari beberapa pusat pengajian lain antaranya Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), dan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Shafinaz (TISSA).
“Selain daripada staf akademik di UUM, beberapa guru sekolah sekitar negeri Kedah juga mengambil peluang untuk menyertai webinar ini selaras dengan hasrat UUM untuk memberi peluang dan ruang dalam membantu sistem pendidikan terutama mereka yang tinggal di Kedah,” katanya.
Progran anjuran Jawatankuasa Penerbitan SAPSP UUM itu menampilkan beberapa panel jemputan antaranya Pensyarah Kanan di Kolej PolyTech Mara (KPTM) Kota Bharu, Dr. Mazeni Ismail yang merupakan pakar rujuk bagi penghasilan ebook di beberapa institusi seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau juga merupakan penerima Anugerah Best Seller Ebook Writer 2021 dan Certified Ebook Trainer and Author dan juga penasihat bagi ebook pocket, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Manakala panel kedua iaitu Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Dr. Intan Idiana Hassan merupakan penerima Anugerah Top Achiever ebook Sales 2021.
Beliau adalah penyelaras dalam pembangunan modul pengajaran secara atas talian (micro credential) dan Trainer Ebook yang diiktiraf oleh Kelab Usahawan Ebook Malaysia.
Panel ketiga ialah Mejar Hasrul Taufek Roslan, PNBB (Lebanon) PPS, PPA TUDM atau lebih dikenali sebagai Master Shiro dari Presiden Kelab Usahawan Ebook Malaysia (KUEM) dan Kelab Penulis Muda Malaysia (KPMM) yang mengasaskan CEO Master Shiro Global Academy (MSGA) Sdn. Bhd. yang menjalankan pelbagai kursus keusahawanan digital, latihan penulisan ebook dan pembimbing usahawanan ebook yang dijemput untuk berkongsi idea bagaimana melatih lebih 2000 penulis ebook merentas 18 buah negara.
Program selama tiga jam itu dikendalikan oleh Pensyarah SAPSP, Prof. Madya Dr. Zakiyah Jamaluddin sebagai moderator.
Sumber berita : UUM Corp Comm