UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) optimis terhadap potensi kolaborasi dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang akan membuka banyak peluang untuk diterokai pada masa hadapan.
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, peluang menjalinkan kerjasama strategik dengan MPC adalah sangat tepat pada masanya kerana UUM menerusi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah mula menggerakkan penyelidik dan Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk menyumbang kepada bidang kajian berimpak tinggi.
Selain itu, menurutnya, kolaborasi itu juga dapat membantu dalam membangunkan bakat masa hadapan dengan penyediaan latihan berkualiti yang dilihat bakal memberi ruang kepada pakar dalam universiti untuk lebih 'visible' dalam kalangan industri.
"Untuk itu, RIMC sedang mengkoordinasi makmal UUM-MPC, selain menubuhkan satu makmal untuk merealisasikan agenda ini melalui program jangka pendek, sederhana dan panjang," katanya ketika menerima kunjungan hormat MPC di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, semalam.
Naib Canselor dalam sesi perbincangan inisiatif ‘Academy In Factory’ bersama MPC berasa berbesar hati kerana berpeluang menjalin kerjasama memandangkan inisiatif yang diambil itu membuka ruang perbincangan, sekali gus membawa kebaikan kepada kedua pihak.
Sementara itu, Pengarah MPC, Mohamad Muzafar Abdul Hamid berkata, pihaknya sedia dan teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan UUM dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, beliau berharap kolaborasi antara MPC dan UUM akan memberi manfaat bukan hanya kepada MPC tetapi juga UUM dan masyarakat.
Sumber berita : UUM Corp Comm
14 Feb 2022