UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) telah mengadakan perbincangan bagi mewujudkan kolaborasi strategik dengan Universitas Indonesia (UI) menerusi Webex, baru-baru ini.
Perbincangan yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan disertai semua Penolong Naib Canselor, Dekan-dekan Pusat Pengajian serta Pengarah CoE itu adalah bagi merintis kerjasama strategik yang lebih mantap bersama UI yang diwakili Dr. Agustin Kusumayati.
UI merupakan antara universiti komprehensif terbaik di Indonesia yang telah menjalin kerjasama dengan UUM melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Prof. Dr. Haim Hilman dalam sesi tersebut berharap semua Dekan Pusat Pengajian dan Pengarah CoE dapat bersama menyemarakkan lagi kerjasama yang telah diusahakan.
Beliau juga telah membentangkan program-program yang berpotensi besar untuk dilaksanakan secara kerjasama dengan UI iaitu enam program terdiri daripada program STRIKE (Strategic Transnational Research & Innovation for Knowledge Enhancement), SERI (Strategic Engagement for Regional Integration), SEED (Social Enterprise for Economic Development), SECURE (Student Exchange for Cultural Understanding & Empathy), SEALS (Staff Exchange for Academic Leadership & Scholarship) dan STEPS (Social, Technological, Environmental Pathways to Sustainability).
Prof. Dr. Haim Hilman turut mencadangkan agar kedua universiti ini melaksanakan program secara bersama seperti webinar, forum dan sesi dialog sebagai permulaan dalam menyemarakkan kerjasama strategik antara UUM dan UI.
Sementara itu, menurut Dr. Agustin, UI amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan UUM dan masih terdapat ruang dan peluang kerjasama sedia ada untuk ditingkatkan lagi.
Katanya, UI menyambut baik cadangan-cadangan daripada UUM dalam usaha untuk mempelbagaikan kerjasama strategik bagi kedua-dua universiti ini.
“Saya berharap agar sesi mesyuarat yang berfokus dapat diadakan untuk membincangkan secara tuntas berkenaan potensi-potensi kerjasama strategik yang boleh digerakkan segera bersesuaian dengan suasana pandemik semasa,” katanya.
Mengakhiri sesi perbincangan tersebut, UUM dan UI mencapai kesepakatan untuk terus menjalin kerjasama strategik demi kepentingan rantau serumpun ke peringkat global.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI