WEBINAR BERI TIPS HASIL PENERBITAN BERKUALITI
Seramai 120 orang peserta telah menyertai webinar yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC). Webinar ini adalah salah satu inisiatif pihak RIMC khasnya untuk meneruskan penyampaian ilmu pengetahuan dan tips kepada semua penyelidik dalam menghasilkan penerbitan berkualiti.
Antara intipati webinar bertajuk “Understanding the Editorial Decision Process: Perspective from Journal Editors” ini adalah untuk memberi perkongsian kepada proses membuat keputusan dan memilih artikel untuk diterbitkan dalam sesebuah jurnal, termasuk tempoh yang diambil serta tips untuk memberi maklumbalas kepada editor dan meningkatkan kadar penerimaan artikel. Lebih menarik lagi perkongsian ini adalah dari perspektif ketua editor jurnal-jurnal berimpak tinggi terbitan UUM Press sendiri.
Webinar ini dikendalikan oleh Pengarah UUM Press, Ybrs Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad sebagai moderator dan menghimpunkan Ketua Sidang Pengarang dari 3 jurnal terbitan UUM Press yang berindeks Scopus sebagai ahli panel, iaitu Ybrs Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, Chief Editor, Journal of Information and Communication Technology (JICT), Prof. Madya Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin, Chief Editor, Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI) dan Prof. Madya Dr. Ratnaria Wahid, Chief Editor, Journal of International Studies (JIS).
Webinar ini berlangsung selama 2 jam dan diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu penyelidik untuk menghasilkan penerbitan bermutu dengan pemilihan jurnal berimpak tinggi.
Sumber berita : Unit Penerbitan Penyelidikan RIMC