UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Semantan Capital Sdn. Bhd., Tan Sri Mohd Ibrahim Mohd Zain di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.
Kehadiran beliau itu turut disertai Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Global, Sheldon Lahra.
Pada pertemuan itu, Sheldon telah memperkenalkan salah satu anak syarikat ABS Global iaitu ABS Innovation Sdn. Bhd. yang merupakan rakan kerjasama Semantan Capital dalam rangka untuk mengadakan kolaborasi dengan UUM memfokus kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini.
Sementara itu, Haim Hilman berkata, walaupun konsep yang dibawa ABS Innovation itu bagus dan menarik perhatian, namun beliau mahu melihat terlebih dahulu hala tuju kolaborasi tersebut bagi tempoh jangka panjang.
Memandangkan universiti ini ingin melahirkan ramai usahawan berjaya pada masa hadapan terutama dalam bidang pertanian, beliau mahu melihat peluang kolaborasi yang boleh diwujudkan menerusi idea yang dibentangkan itu.
"Saya mahukan kerjasama yang mana organisasi tersebut turut berhasrat untuk bersama-sama membina universiti ini dalam melahirkan pelajar yang holistik dan pada masa sama pelajar dan juga pensyarah di sini menikmati manfaat hasil kolaborasi itu.
"Di samping itu, komuniti setempat juga memperoleh manfaat daripada kerjasama strategik antara UUM dengan Semantan Capital mahupun ABS Innovation dalam membangunkan sosioekonomi rakyat, seterusnya membantu ekonomi negeri," katanya.
Beliau juga turut mengalukan pihak industri untuk mengadakan temuduga melibatkan pelajar UUM yang berpotensi untuk diambil bekerja di organisasi tersebut.
Sumber berita : UUM Corp Comm